Hutang Besar Dengan Mek



Hari ini mengulang-baca “Cerpen-Cerpen Bangsa Patani” oleh Isma Ae Mohd. Ada satu cerpen yang begitu dekat dengan jiwa dan hidup saya. Judul cerpen yang bertajuk “Ke Negeri Impian” adalah seperti menyelak impian mek (ibu) saya untuk melihat anaknya berjaya dengan belajar lebih tinggi. Tak dinafikan, saya berhutang besar dengan arwah mek saya. Dialah orang yang bertanggungjawab mewakili saya berdebat dengan abah yang berkeras supaya membenarkan anaknya ini menyambung pelajaran dan mengenal dunia Universiti dan akademi. Bilik tidur saya berhadapan dengan bilik mekabah saya dan kadang-kadang saya terdengar mereka bercakap, mengenai anak-anak, kerja hakiki, dan urusan hidup seharian pada waktu malam. Atau terdengar semasa saya sedang menyucuh lingkaran ubat nyamuk sebelum tidur. Kisah hidup saya tidaklah seperti dalam cerpen ini sehingga ibu beliau merayu kepada pengetua sekolah dengan pertolongan tukang kebun untuk memasukkan anaknya ke sekolah walaupun tidak berdokumen lengkap sebagai bukan rakyat Malaysia. 

“Saya hanya mahu anak saya ni tahu baca, tahu baca papan tanda, supaya senang dia nak naik bas”.

Dialog ni benar-benar menangkap hati, mencengkam dada saya beberapa minit. Boleh rasa ketabahan, pengorbanan, keinginan seorang mak untuk menyekolahkan anaknya supaya menjadi lebih baik daripada dirinya. 

Terima kasih buat mek dan ibu-emak diluar sana yang berjuang untuk anaknya mendapat pendidikan ilmu yang lebih baik. Tiada patah kata boleh digambarkan, tiada daya usaha boleh dibandingkan dengan semangat ibu-ibu ini. Doa sajalah yang dapat saya kirim, semoga segala rahmat dan iradat tetap mengiring mek walaupun kita telah berpisah di dunia yang sekejap ini. 

Al-fatihah.

Comments

Post a Comment

Popular Posts