Titipan Buat Bonda

Tiga Disember Dua Ribu Lima Belas, pada tarikh ini tiada lagi sang pencerita hebat dalam hidup aku. Tiada lagi cerita Puteri Saadong dan Awang Selamat, Pak Pandir dan Guruh, dan banyak lagi cerita-cerita rakyat yang telah diceritakan. Bila telah sampai waktunya, tiada lewat walau sesaat, tiada awal walau sedetik, bonda aku telahpun pergi buat selama-lamanya kerana setelah berbulan menanggung sakit derita. Aku redha dengan segala catatan yang telah ditulis oleh Tuhan tapi kejadian ini berlaku terlalu pantas sampaikan aku rasa baru kelmarin aku balik dan menjamah tangan tua ibu. Kehilangannya  bermakna aku telah kehilangan satu sumber doa yang paling kuat yang merahmati hidup aku selama ini iaitu doa seorang ibu. Hari kedua ketiadaanya sudahpun membuatkan aku rasa rindu untuk menatap, melihat senyuman yang hanya dapat aku bayangkan saja tapi apa-apa pun aku tahu dia telah tenang kembali di pangkuan Maha Pencipta, tambahan pula dia pergi pada malam jumaat, pengulu segala hari membuatkan hati aku tenang dalam sebak untuk menangisi pemergian mak. Alhamdulilah, segala proses pengebumian berlaku dengan sangat lancar tanpa apa-apa rintangan. Sekarang aku hanya ada abah untuk dijaga dan ditabur jasa seperti mana abah bersusah payah untuk membesarkan aku hingga ke tahap sekarang.  Walaupun hilang tempat untuk mengadu, berkongsi segala cerita, aku pasrah dan catatan ini dititip khas untuk arwah mak.


Al- fatihah untuk arwah mak, semoga sentiasa tenang disana. InsyaALLAH setiap titip doa terselit namamu dan berusaha menjadi lebih baik dari yang dulu.    

Comments

Popular Posts